Wednesday, January 25, 2012

Motivasi Kehidupan

Matlamat yang jelas itu akan memberi sinar harapan yang gemerlapan.
Tanpa sasaran yang benar dan pudar, akan membebankan diri dengan pelbagai ketidakpastian.
Samar-samar dalam memegang sesuatu kepercayaan, memudahkan lagi penggoyahan dalam diri.

Oleh itu, seharusnya kita semua mencari dan terus mencari erti kehidupan yang sebenar agar ianya dapat dipacu dengan penuh semangat tanpa berasa sangsi dan ragu-ragu.

Dibawah ini adalah fahaman yang di'iman'i oleh Assyahid Imam Hassan Al-Banna dan para pengikutnya dan pemahaman ini telah memberi suluhan bersinar dalam kehidupanku. Sungguh bagiku, fahaman ini adalah benar lagi jelas.Aku mengambil keputusan untuk turut serta meng'iman'i pengertian ini dan mencuba sedaya upaya mengaplikasikan dalam kehidupan dengan keizinan ALLAH.

Tulisan dibawah ini dipetik dari Himpunan Risalah Ucapan Dasar Muktamar Ke Lima yang disampaikan oleh Assyahid Imam Hassan Al-Banna.

Moga memberi manfaat dan cahaya yang baru kepada semua yang membacanya.

Saya yakin bahawa hukum dan ajaran Islam lengkap mencakupi seluruh
urusan manusia di dunia dan di akhirat. Mereka yang merasakan ajaran Islam ini hanya menyentuh aspek ibadat atau kerohanian tanpa membabitkan aspek-aspek lain adalah silap. Islam adalah akidah dan ibadat, tanahair dan bangsa, agama dan negara, rohani dan amali, mashaf dan pedang. Al-Quran al-Karim menyentuh semua aspek ini dan meletakkan seluruh aspek ini sebagai teras Islam. Malah Islam
mengingatkan manusia supaya memenuhi seluruh aspek ini.

Ini dinyatakan oleh ayat al-Quran:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah). (Al-Qasas: 77)"

Seterusnya, ketika membaca al-Quran atau ketika sembahyang anda akan temui sepotong firman Allah yang menyentuh akidah dan ibadat:

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah
dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang
demikian itulah agama yang benar. (Al-Baiyinah: 5)"

Anda juga dapat membaca firman Allah yang menyentuh aspek pemerintahan,kehakiman dan politik:

"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (An-Nisa’: 65)"

Anda juga dapat membaca firman Allah yang menyentuh soal hutang dan
urusniaga:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah
sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah: 282)"

Bacalah firman Allah yang menyentuh aspek jihad, perang dan pertempuran:

"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka
(semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersamasamamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi
orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina. (Al-Nisa’: 102)"

Banyak lagi ayat lain yang menyentuh semua aspek ini. Demikian juga aspek-aspek tatasusila dan kemasyarakatan yang lain.

Wassalamulaikum.

Sumber: Himpunan Risalah-Risalah Assyahid Imam Hassan Al-Banna


No comments:

Post a Comment