Tuesday, January 29, 2013
"Walau apa pun, hanya Allah yang tahu: Kisah Seorang Tua,Anak Terunanya dan Orang-orang kampung"
Perkongsian Abah kepada saya, moga manfaat kepada semua:
Segerombolan kuda liar menduduki satu kandang ditengah bandar dengan penuh keriangan sepanjang beberapa tahun sejak dipindahkan.
Allah izin, makanan dan minuman disitu semakin hari semakin sedikit dan tidak pula ditambah oleh sesiapa.
Segerombolan kuda liar itu cuba mencari ikhtiar untuk meneruskan kehidupan dengan pergi ke rumah seorang tua yang mempunyai anak teruna di hulu perkampungan kerana seorang tua itu terkenal dengan kelembutan hati dan sifat pemurahnya.
Apabila sampai segerombolan kuda liar itu dirumah sorang tua itu, ramai orang kampung yang mengucapkan tahniah kepada seorang tua itu kerana beruntung mendapat secara percuma segerombolan kuda liar itu.
Dengan nada lembut dan merendah diri seorang tua itu menjawab "walau apa pun hanya Allah sahaja yang tahu".
Anak teruna kepada seorang tua itu sangat meminati untuk menunggang kuda, dan berhasrat untuk melatih kuda-kuda liar tersebut menjadi kuda lumba yang laju. Dengan itu, setiap hari anak teruna itu melatih kuda-kuda liar itu dengan pelbagai kaedah untuk merealisasikan hasratnya.
Allah izin, setelah melalui latihan intensif selama 2 bulan, kuda-kuda liar itu menjadi kuda lumba yang laju dan mengikut arahan. Orang kampung disitu memuji Seorang Tua itu kerana telah berjaya menjadikan kuda-kuda liar sebagai kuda lumba yang hebat dan mesti menarik perhatian orang-orang kaya.
Dengan nada lembut dan merendah diri seorang tua itu menjawab "walau apa pun hanya Allah sahaja yang tahu".
Sedang gembira hati si anak teruna menunggang kuda yang dilatihnya, Allah izin, kuda itu terjatuh terpijak lubang menyebabkan anak teruna itu patah kaki dan mendapat tempang kekal.
Orang kampung disitu menyembur sindiran sinis dan mengatakan bahawa Seorang Tua itu kerugian besar kerana anak terunanya tempang.
Dengan nada lembut dan merendah diri seorang tua itu menjawab "walau apa pun hanya Allah sahaja yang tahu".
Pada satu hari, komunis hadir kekawasan itu dan mengumpulkan semua pemuda-pemuda untuk dijadikan sebagai askar kerahan. Semua anak muda wajib untuk menyertai askar kerahan itu tanpa sebarang alasan.
Sedang komunis itu meneliti satu persatu pemuda, seorang anak muda disuruh keluar dari kumpulan itu kerana beliau tempang. Anak muda itu adalah anak teruna Seorang Tua itu.
Semua penduduk kampung mengatakan bahawa Seorang Tua itu beruntung kerana anak beliau terselamat dari menjadi askar kerahan.
Dengan nada lembut dan merendah diri seorang tua itu menjawab "walau apa pun hanya Allah sahaja yang tahu"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment